|
Persiapan untuk Hari
Bahagia (sambungan)
Untuk menyerikan suasana persandingan, paluan
kompang mungkin dapat membantu. Oleh itu tempahlah pasukan kompang
seawal yang mungkin agar mereka tidak terikat dengan majlis yang lain.
Jangan sampai paluan kompang hanya dapat berkumandang melalui kaset
atau cakera padat yang dimainkan akibat pasukan kompang sudah di
tempah orang. Dalam keadaan ini, kemeriahan majlis sedikit sebanyak
mungkin akan tergugat.
Dalam pada itu, tempahan untuk kad jemputan
jangan diambil ringan. Pilihlah kad jemputan yang sesuai dengan
citarasa anda. Pada masa ini terdapat pelbagai jenis dan bentuk kad
jemputan yang berada di pasaran, pilih sahajalah yang berkenan dihati.
Pastikan cetakan nama dan alamat yang tertera pada kad jemputan betul.
Jika ada sebarang kesilapan, betulkan segera.
Kira-kira 2 hingga 3 bulan sebelum majlis
berlangsung, buatlah tempahan mak andam. Pemilihan mak andam yang
betul perlu untuk memastikan agar penampilan diri di hari perkahwinan
memuaskan. Pilihlah mak andam yang dapat menaikkan seri wajah dengan
solekan yang sederhana tetapi mampu menyerlahkan keayuan wajah.
Selain daripada menentukan penampilan diri
pengantin, mak andam biasanya turut menyediakan set pelamin dan
pakaian dalam pakej perkhidmatan mereka. Jadi ambillah kesempatan itu
untuk memilih pelamin dan pakaian yang sesuai dengan diri agar
menepati citarasa di samping tidak melebihi budget anda. Kepada mereka
yang ingin menempah sendiri pakaian pengantin, terdapat butik-butik
yang sentiasa menawarkan pelbagai fesyen yang terkini sesuai dengan
peredaran masa, Jadi pilihlah yang bersesuaian.
Untuk kenangan di masa depan pula, pastikan
anda merakam detik-detik bersejarah buat diri anda dengan
gambar-gambar yang menarik dan bermutu. Oleh yang demikian carilah
mereka yang benar-benar pakar dalam bidang fotografi dan kamera video
agar mutu gambar yang dihasilkan memuaskan. Jangan serahkan tugas
penting ini kepada saudara-mara kerana mereka juga sibuk pada hari
tersebut dan juga mungkin kualiti gambar dan video yang dihasilkan
kurang memuaskan.
Sudah menjadi kemestian kedatangan pengantin
lelaki ke rumah pengantin perempuan diiringi dengan barangan hantaran.
Persiapan untuk hantaran ini bolehlah dimulakan sebaik sahaja ikatan
pertunangan terjalin. Persediaan awal ini dapat membantu untuk
mengelakkan bakal pengantin merasa terlalu banyak wang perlu
dibelanjakan dalam satu masa. Barangan yang diperlukan mungkin boleh
dibeli ketika ada jualan murah.
Bagi yang kreatif, mereka bolehlah menyadiakan
sendiri bunga telur untuk hiasan pelamin. Namun kepada sesiapa yang
kesuntukan masa atau tidak kreatif, di pasaran sekarang terdapat
berbagai jenis dan bentuk bunga telur yang dijual dengan harga yang
berpatutan.
Selain daripada persediaan barang-barang,
persediaan diri dan mental bakal pengantin adalah amat penting.Oleh
itu, adalah wajar bagi mereka untuk mendapatkan rawatan diri dan
penjagaan kesihatan untuk memastikan pengantin ceria di hari
persandingan.
Diharap dengan panduan yang ada ini dapat
membantu bakal pengantin menguruskan majlis bersejarah tersebut dengan
baik. Insyaallah.
<< kembali
|