|
Majlis Perkahwinan
Tatkala mempelai diijab kabul, ditepung tawar, berinai, bersanding dan seterusnya makan
berhadap, hati ibu bapa resah mengharapkan majlis berjalan lancar seperti dirancang. Bukan
mudah mengadakan majlis perkahwinan biar kecil mahu pun besar, di rumah mahu pun di hotel.
Persediaannya kadang kala telah bermula beberapa bulan sebelum hari besar. Bermacam-macam
perkara perlu diperincikan dengan teliti demi menjamin majlis berjalan lancar. Walaupun
kos telah ditentukan, biasanya belanja untuk perkara remeh-temeh tetap melambung. Untuk
memudahkan anda memperincikan belanjawan majlis, di sini diperturunkan serba sedikit
perkara-perkara yang perlu diambil kira:
- Kos kenduri - nasi minyak dan lauk pauk, minuman, menu untuk
makan berhadap.
- Belanja penanggar (pembantu-pembantu) termasuk makan, minum
dan rokok.
- Kos khemah dan kerusi meja termasuk alas.
- Air dan bahan pencuci untuk membasuh pinggan mangkuk.
- Belanja untuk seni kraftangan seperti dulang hantaran, bunga
telur, pelamin, bunga manggar dan sebagainya.
- Kos penginapan dan pengangkutan - wakil dan rombongan
pengantin.
- Kos kad jemputan dan setem.
- Kos pasukan kompang atau muzik lain.
- Kos luar jangkaan.
Selain belanjawan, anda juga perlu mengagih-agihkan tugasan.
Tugas memasak, tugas mencuci, menghidang, menyediakan air minuman, membahagi telur
pengantin, pelayan meja utama, penyambut tetamu dan banyak lagi. Walaupun nampak remeh,
perkara-perkara kecil seperti ini jika tidak disusun dengan teratur mungkin boleh
mencacatkan majlis. Carilah orang-orang yang berpengalaman untuk mengetuai setiap
bahagian. Jika anda mengadakan majlis di hotel, anda tidak perlu memperincikan
tugasan-tugasan ini kerana pihak hotel akan mengendalikan kesemuanya.
Kebelakangan ini, kebanyakan majlis perkahwinan terutamanya di bandar-bandar diadakan
secara bufet. Kaedah ini ternyata lebih mudah dikendalikan kerana anda tidak memerlukan
ramai pelayan dan kerja-kerja penanggah lebih teratur dan lancar. Namun cara hidangan
biasa tetap menjadi pilihan di kebanyakan majlis terutama di kawasan luar bandar kerana ia
ternyata lebih meriah. |