|
Barangan Kemas Pengantin
Wanita mana yang tidak sukakan barangan kemas, apatah lagi jika dihadiahkan pada hari
perkahwinan. Aneka perhiasan menjadi idaman namun yang kerap menjadi pujaan ialah cincin
bertatah berlian lantas ia melambangkan simbol ikatan kasih yang lebih romantik dan
klasik.
Jika anda telah memutuskan untuk menghadiahkan si dia sebentuk cincin berlian, anda
bolehlah mengintai-intai ke kedai permata untuk mencari yang sesuai. Sebelum itu, tentukan
kos yang termampu kerana cincin bertatah berlian yang bermutu tinggi walaupun kecil,
harganya kadangkala memeranjatkan.
Anda boleh memilih daripada pelbagai bentuk berlian seperti bulat gemerlapan, zamrud,
empat segi, bujur telur, bentuk pir dan macam-macam lagi. Cincin bertatah sebutir berlian
bulat gemerlapan kerap kali menjadi pilihan paling anggun. Namun ada juga yang berkenankan
cincin bertatah berbilang berlian. Walau apa jua keputusan anda, adalah lebih baik membawa
si dia bersama ketika membuat pilihan.
Anda perlu berwaspada ketika memilih berlian kerana di pasaran ketika ini, terdapat
pelbagai jenis batu berlian. Biasanya yang mahal ialah berlian tulen. Manakala
berlian-berlian tiruan seperti zirkon, berlian amerika atau berlian russia lebih rendah
harga dan mutunya. Anda juga dinasihatkan agar memahami faktor 4C yang menentukan nilai
sebenar berlian. 4C ialah berat berlian dalam kiraan karat, potongan, kejernihan dan
warna. Berlian yang paling baik ialah berlian yang lebih berat, dipotong dalam segi-segi
yang dapat membiaskan cahaya pelangi dengan sempurna, jernih sejernihnya tanpa sedikit pun
tanda-tanda dan tiada warna. Anda boleh melihat semua ini dengan bantuan kanta pembesar di
kedai barangan kemas.
Sebelum anda memutuskan untuk membeli berlian, anda juga perlu memahami bahawa nilainya
akan susut apabila anda bercadang menjual semula. Susut nilai berlian biasa berlaku
terutama bagi berlian-berlian tiruan yang kadangkala tidak mengikut faktor 4C. Namun anda
masih ada pilihan. Anda boleh membeli perhiasan emas semata-mata seperti rantai, gelang,
rantai tangan dan sebagainya. Harga emas diniagakan di pasaran antarabangsa dan ia
biasanya turun naik. Emas juga mempunyai pelbagai kelas seperti emas sepuluh atau emas
tulen 999.9, emas singapura 916, emas paun, emas putih atau platinum dan banyak lagi.
Pastikan anda melihat nombor emas di belakangnya.
Bagi pengantin perempuan pula, jika berhajat anda boleh juga menghadiahkan pengantin
lelaki dengan cincin suasa atau tembaga bertatah batu delima, akek, jade, lapis lazuli dan
macam-macam lagi. Ia boleh dibeli mahupun ditempah. Tetapi pemberian barangan kemas untuk
pengantin lelaki jarang diamalkan kerana ia hanya berfungsi untuk memeriahkan majlis
manakala adat memberi barangan kemas untuk pengantin perempuan telah sebati dengan
masyarakat sebagai kaedah membatalkan air sembahyang selepas akad nikah. Perlu diingat,
kesemua ini semata-mata adat dan tiada kena mengena dengan agama.
|