|
Adat Majlis Perkahwinan Melayu - Memilih Menantu dan Upacara
Selanjutnya
Dalam memilih menantu, banyak perkara yang ibu bapa memberi perhatian dan pertimbangan.
Gadis yang dipilih hendaklah dari keluarga yang secocok dengan mereka. Perangai serta
tingkah laku mesti baik, ikhlas dan sempurna. Begitu juga daripada aspek-aspek pengetahuan
agama dan bidang pelajaran, jika gadis itu bersekolah. Apabila berbincang dengan saudara
yang memilih gadis itu, banyak perkara lain yang dibangkitkan. Akhirnya, setelah berpuas
hati dengan gadis itu barulah mula dijalankan kerja-kerja untuk meminang.
Kerja-kerja meminang diwakilkan oleh ibu bapa pihak lelaki kepada sudara
maranya. Apabila peminangan dipersetujui ada yang menghantar tanda sebagai mengesahkan
peminangan. Tanda yang biasa dihantar ialah sebentuk cincin emas bersama dengan hadiah
lain seperti kain dan kuih-muih. Dengan adanya 'tanda' itu, si gadis itu dianggap sudah
bertunang. Sewaktu menghantar tanda, ditetapkan tarikh menghantar belanja dan akad nikah.
Ketika menghantar belanja, pihak lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dan
kedua-dua pihak aakan menyampaikan serta menerima hantaran yang ditetapkan. Dahulu wang
hantaran digubah dalam pelbagai bentuk atau dibungkus dengan menggunakan kain baldu atau
kain yang bersulam dengan begitu indah sekali. Iringan-iringan lain termasuk sirih
junjung, bunga rampai dan hadiah-hadiah seperti pakaian, alat solek, buah-buahan dan
pemanis seperti kuih-muih. Cara menjemput perkahwinan pada masa dahulu bukanlah melalui
kad jemputan tetapi pihak ibu bapa atau saudara mara pengantin pergi dari rumah ke rumah
untuk menjemput ke majlis perkahwinan. Mereka membawa tepak sirih dan terus menjemput
serta meminta saudara mara dan sahabat handai datang ke majlis.
Upacara selanjutnya...
|